Terlepas entri yang lain? Jom baca entri ini..

Saturday, February 11, 2012

Denggi

Assalamualaikum!!
sekarang ini, banyak berlaku kes denggi..
ramai juga lah yang meninggal dunia disebabkan denggi nie..

Apa itu Denggi

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. 
Terdapat 4 jenis ´serotype´ virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis ´serotype´ ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza-beza.

Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit. 

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar. 

Nyamuk Aedes


Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya. 

Nyamuk aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu:

1. Aedes aegypti. Ciri-ciri nyamuk ini ialah tanda putih-perak bentuk kecapi di kepala. Nyamuk aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.

2. Aedes albopictus. Ciri-ciri nyamuk ini pula ialah terdapat garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan. Nyamuk albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan tempat air bertakung.  

cara jangkitan

Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama lapan hingga sepuluh hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya.

Apabila nyamuk aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada terdapat dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.

Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil ´penularan mekanikal´.

Selain itu, jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari di mana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya. Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit. 

 Tanda atau Gejala

1. Demam denggi klasikal

Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. 
Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. 
Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

2. Demam denggi berdarah

Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis(najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai ´Dengue Shock Syndrome´ (DSS).
Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah: 

Rawatan
Rawatan demam denggi klasikal:

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam(suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah:

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma. 

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...



Copyright © 2012 and Designed by Eiqa Azra